Sunday, July 26, 2009

Melayu

Melayu itu Orang yang bijaksana,

Nakalnya bersulam jenaka,

Budi bahasanya tidak terkira,

Kurang ajarnya tetap santun,

Jika menipu bersOpan,

Jika mengampu pun lembut beralas.


Melayu itu berani jika bersalah,

Takut kerana benar,

Janji simpan di perut,

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat,

Jangan mati anak.


Melayu di tanah semenanjung luas maknanya:

Jawa itu melayu, bugis itu melayu,

Banjar juga disebut melayu, minangkabau memang melayu,

Keturunan acheh adalah melayu,

Jakun dan sakai asli melayu,

Arab dan pakistani semua melayu,

Mamak dan malbari serap ke melayu,

Malah mualaf bertakrif melayu,

Setelah disunat anunya itu.


Dalam sejarahnya,

Melayu itu pengembara lautan,

MelOrOngkan jalur sejarah zaman,

Begitu luas daerah sempadan,

Sayangnya kini segala kehilangan.


Melayu itu kaya falsafahnya,

Kias kata bidal pusaka,

Akal budi bersulamkan daya,

Gedung akal laut bicara.


Malangnya melayu itu kuat bersOrak,

Terlalu ghairah pesta temasya,

Sedangkan kampung telah tergadai,

Sawah sejalur tinggal sejengkal,

Tanah sebidang mudah terjual.


Miski telah memiliki telaga,

Tangan masih lagi memegang tali,

Sedang Orang mencapai timba,

Maka berbuahlah pisang tiga kali,

Melayu itu masih bermimpi,

Walaupun sudah mengenal universiti,

Tapi masih berdagang di rumah sendiri.


Berkelahilah cara melayu,

Menikam dengan pantun,

Menyanggah dengan senyum,

Marahnya dengan diam,

Merendah bukan menyembah,

Meninggi bukan melOnjak.


Watak melayu menOlak permusuhan,

Setia dan sabar jadi sempadan,

Tapi jika marah tak nampak telinga,

Musuh dicari ke lubang cacing,

Tak dapat tanduk telinga dijinjing,

Maruah dan agama dihina jangan,

Hebat amuknya tak kenal lawan.


Berdamai cara melayu indah sekali,

Silaturrahim hati yang murni,

Maaf diungkap sentiasa bersahut,

Tangan dihulur segera bersambut,

Maka luka pun tidak lagi berparut.


Baiknya hati melayu itu tidak terbandingkan,

Segala yang ada sanggup diberikan,

Sehingga terciptalah sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan,

Suami pulang lapar tak makan,

Anak dipangkuan mati kebuluran.”


Bagaimanakah melayu abad ke dua puluh satu?

Masihkah tunduk tersipu – sipu?

Jangan takut melanggar pantang,

Jika pantang menghalang kemajuan,

Jangan segan menentang larangan,

Kita yakin kepada kebenaran,

Jangan malu mengucapkan keyakinan,

Kita percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana,

Memegang tali memegang timba,

Memiliki ekOnOmi mencipta budaya,

Menjadi tuan di negara merdeka.



Pak Raden

2002

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home